Nota:

Jemput membaca, tetapi hakcipta terpelihara. Ini adalah blog peribadi

Thursday, October 21, 2021

Sedutan Musim Sejuta Warna (Bab 1)

Assalamualaikum semua, Aduhai,lama sungguh tidak menjenguk blog ini. Kalau anda pernah membaca mengenai novel saya Musim Sejuta Warna, Alhamdulillah, novel tersebut telah terbit pada tahun 2020. Dalam dugaan menghadapi pandemik Covid-19, novel saya telah lahir. Saya kongsikan sedutan Bab 1 daripada novel ini. 

Bab 1: 
    Nalia masih terpaku merenung wajah Kuala Lumpur yang baru sahaja disirami hujan. Sesekali angin malam datang menyapa membawa dingin yang bukannya sedikit. Kaftan yang dipakai turut beralun perlahan mengikut irama angin malam. Nalia berpeluk tubuh. Walau kedinginan, dia masih terpaku menatap malam. Dalam pekat malam yang telah hilang disimbah cahaya neon, Nalia terkenangkan majlis pertunangan Elida yang dihadirinya siang tadi. Bagai ternampak-nampak seyuman manis Elida ketika bakal ibu mertuanya menyarungkan cincin di jari manisnya. Hem..seorang lagi temanku selamat mengikat tali pertunangan. Bulan lalu, Hafiza. Siang tadi, Elida. Pulang dari majlis Elida, sekeping lagi kad jemputan kahwin terdampar di atas meja tulisnya. Daripada Juriah! Juriah teman baik Nalia dari sekolah rendah membawa ke sekolah menengah hinggalah haluan mereka terpisah di dua menara gading yang berbeza. Juriah..akan tiba jua hari yang kau nanti-nanti. Hem..semua orang hendak kahwin, semua orang dah bertunang, semua orang sudah punya teman lelaki. Nampak gayanya, aku jugalah yang masih bersendiri. 
     “Engkau tu pemilih sangat Nalia..” leteran Elida terdengar di telinganya ketika dia menghabiskan masa dengan gadis itu seminggu sebelum majlis pertunangannya. Emylia dan Hafiza yang turut bersama hanya tersengih memerhati. 
     “Engkau jangan lengah-lengah Nalia. Umur kau sekarang dah berapa. Dah grad nanti orang dah takut nak dekat” Elida menyambung leterannya. Nalia tersenyum, tapi hatinya tersentuh. Engkau dah nak bertunang, bolehlah kata macam tu. Cuba kalau kau pun sama-sama tidak ada teman lelaki. 
    “Siapa sebenarnya yang engkau tunggu, Nalia? Anak raja bunian atau putera dari kayangan?” Hafiza pula menyampuk. Emylia pula hanya mendiamkan diri.
    “Nalia, kita ni masih muda. Perjalanan kita masih jauh lagi..macam-macam lagi yang kita belum jumpa dalam hidup ni” 
    Nalia tersentak. Tiba-tiba dia teringat pula komentar Shamrin. Shamrin antara teman sekuliah yang paling rapat dengannya. Ingatannya terlayang pada Shamrin yang pernah diajak berbincang persoalan yang sama. 
     “Alah..jangan fikirkan sangat Nalia. Tengok aku ni, tak pernah fikir langsung pasal teman-teman hidup ni” 
     “Engkau lain Sham, engkau lelaki. Kahwin umur berapa pun orang tak ambil peduli” luah Nalia diiringi keluhan berat. 
     “Apa bezanya dengan perempuan? Sekarang ni zaman dah berubah. Ramai perempuan dah berpendidikan tinggi. Peluang untuk belajar ada di mana-mana. Lepas belajar, mula bekerja pula. Logiklah kalau ramai yang kahwin lambat” jawab Shamrin selamba. Nalia terdiam. Hujah Shamrin itu memang ada benarnya. Ialah, seperti kata Shamrin, sekarang ini ramai perempuan yang sudah berpendidikan tinggi. Kerana itu, masyarakat tidak akan kata apa-apa andainya mereka lewat mendirikan rumahtangga. Aku dan teman-teman juga antara yang berpeluang melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi. Lalu, apa bezanya antara aku dengan mereka? Hem..bezanya, dalam tempoh pengajian ini mereka sudah punya pasangan, sudah mula merencana masa hadapan, tapi aku pula sudah masuk tahun akhir pengajian masih lagi sendirian! 
     “Kenapa tiba-tiba buka cerita pasal kahwin ni, kau dah tak sabar nak kahwin ke?” Nalia teringat lagi pertanyaan Shamrin. Bagai terpandang-pandang sengih nakalnya ketika soalan itu diajukan. 
     “Tak adalah! Aku ni..siapa lah yang nak..” jawab Nalia, bagai berjauh hati. Shamrin tergelak keras. Sungguh-sungguh benar dia ketawa. Nalia jadi sakit hati. Tawa Shamrin serasa menghinanya.                    “Engkau?” Shamrin tertawa lagi.
       “Engkau ni tak ada orang nak?” soal Shamrin dalam tawa yang masih bersisa. 
     “Memang tak ada orang nak pun, kenapa pulak gelakkan aku. Aku cakap yang benar” kata Nalia, mula naik angin. 
     “Lebarkan pandangan, luaskan pergaulan, adalah nanti yang berkenan” kata Shamrin, bila tawanya reda. “Ah..biarlah. Ada jodoh tak ke mana” Nalia mengulangi falsafah hidupnya. 
     “Atau ada dah dalam hati?” duga Shamrin sambil merenung tepat wajah Nalia. 
     “Aku mana ada boyfriend” akui Nalia, jujur. 
     “Tapi ada yang pernah kau admire, bukan?” Nalia tersentak. Shamrin tersengih lebar sambil angkat-angkat kening penuh makna. Shamrin ini terlalu bijak meneka perasaannya. Mungkin kerana ada terlalu banyak rahsia yang dikongsi antara mereka berdua. “
    Apa khabar Prince Charming engkau?”

    Novel ini berharga RM50 (termasuk penghantaran). Sekiranya berminat, boleh WhatsApp 019-2271122 ya. Nanti saya sertakan sedutan bab 2 pula. 

Nota: Psttt..boleh follow saya di instagram @sayalahrinazrina dan Facebook Page Sayalah Rin Azrina.

Salam hormat:
Rin Azrina 
rinazrina105@gmail.com



Monday, November 17, 2014

Melewati Musim Sejuta Warna

Cover sementara dihasilkan oleh sahabat baik saya whitebarley.blogspot.com. Sumber foto: www.google.com


[Dengan nama ALLAH yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani] Assalamualaikum. Sudah terlalu lama tidak menulis dalam blog ini. Walaupun masa berlalu terlalu pantas, seharusnya kita tetap berusaha untuk mengejarnya. Namun saya akui, saya amat lelah berkejar dengan masa, sehingga terpaksa mengorbankan salah satu aktiviti yang sepatutnya dilakukan secara konsisten. Tetapi saya redha, kerana walaupun tidak sempat kerap menulis blog, tugas yang lain saya tidak lupakan. Kerja hakiki tidak terganggu dan Alhamdulillah, novel saya hampir saya sempurnakan, harapnya mencapai target saya, menyiapkannya by the end of 2014.
    Saya selalu percaya, kita manusia dikurniakan Allah dengan multiple talent and intelligence. Semuanya tanda Allah sayangkan kita. Supaya kita dapat mencari rezeki dengan pelbagai kelebihan yang DIA berikan. Supaya kita dapat meneruskan kelangsungan hidup di atas muka bumi ini. Kerana itulah, dalam kesibukan dengan rutin harian, saya tetap mahu meneruskan minat yang terpendam sekian lama iaitu menulis. Oleh itu terimalah hasil karya saya Musim Sejuta Warna (MSW). 


Saya menghasilkan karya ini sejak saya masih menuntut di IPTA dan menyambungnya setelah beranak tiga LOL! (sumber textgram)


Antara yang anda perlu tahu tentang MSW
  1. MSW bukanlah karya saya pertama. Tp yang pertama saya cuba langsaikan. Saya mendapat semangat baru setelah menghadiri Bengkel Asas Penulisan Novel Buku Prima di Krangkraf. Banyak tips dan panduan yang saya aplikasikan sehingga saya berjaya menulis dan cuba menyelesaikan karya ini. Sejak itu, saya amat sedar, nak buat apa pun, mesti ada ilmu.
  2. MSW terdiri daripada 2 musim - musim pertama mengambil latar sekitar tahun 99/00 dan musim 2 pada tahun semasa. Ia menggambarkan musim-musim yang kita lewati dalam novel kehidupan di alam realiti. Kita semua melalui zaman kenakalan masa remaja, saat memendam rasa meminati seseorang dalam diam. Kemudian melalui zaman cinta pertama, putus kasih, menyambung kasih atau mungkin terpisah semula dan akhirnya memilih insan yang paling menyayangi untuk menjadi suami. Apabila berumahtangga pula bukan sedikit cabaran yg diterima. Inilah antara warna-warna yang menghiasi kanvas kehidupan kita. Bukan satu, tidak dua tetapi ada berjuta-juta warna. 
  3. Anda boleh membaca kisah ini di laman web ilham.karangkraf.com --> search musim sejuta warna atau boleh muat turun aplikasi ilham karangkraf dari play store --> search musim sejuta warna. Anda juga boleh pergi kepada link di bawah http://ilham.karangkraf.com/karya-detail.aspx?idk=3661&idc=19336
  4. Saya meminjam masa tidur saya untuk menghasilkan kisah ini. Besar harapan saya agar anda terhibur dan menyukai karya ini. InshaAllah.
  5. Saya akan bercerita mengenai MSW lagi pada kesempatan akan datang. Sehingga bertemu lagi di alam maya blog ini untuk berkongsi tentang karya saya. Salam sayang - Rin Azrina

    Tuesday, July 8, 2014

    Ramadhan dalam pelbagai fasa kehidupan



    Alhamdulillah sudah 10 hari kita menjalani ibadah puasa. Semoga kita sama-sama memperolehi ketenangan dan keberkatan dalam bulan yang mulia ini.
    Sempena Ramadhan ini saya ingin bercerita mengenai kenangan-kenangan Ramadhan yang telah saya lalui dalam pelbagai fasa kehidupan selama 38 tahun bernafas di bumi Allah ini. Saya telah melalui Ramadhan dr zaman kanak-kanak hingga kini bergelar ibu dan pastinya ada kenangan yang mengundang tawa dan rasa ceria. Ada juga memori yang bersulam duka dan tangis.

    1. Ramadhan pada zaman kanak-kanak
    Saya mula belajar berpuasa ketika dalam darjah dua. Seingat saya, saya sudah dapat berpuasa penuh pada darjah 3. Sebagai kanak-kanak, Ramadhan dilalui dengan penuh keriangan – sebab nanti nak raya. Pastinya ibadah berpuasa adalah sekadar berpuasa, menahan lapar dan dahaga.
    Ketika malam 10 akhir Ramadhan selalunya saya akan mengikut Allahyarham atuk memasang pelita di sepanjang jalan masuk ke rumah. Memang meriah. Jiran di hadapan rumah lebih hebat. Halamannya penuh dengan pelita. Namun zaman kini berubah. Jiran-jiran di hadapan rumah telah berpindah. Khabarnya nak naik taman perumahan. Jiran terdekat juga sudah tiada. Hilang sudah suasana terang benderang dilimpahi lampu pelita minyak tanah yang kini hanya jadi sebahagian memori saya tentang Ramadhan pada zaman kanak-kanak dan remaja.
    Ketika kanak-kanak, tidak sabar rasanya menanti kedatangan Syawal yang mulia. Ketika kecil, Alhamdulillah – walaupun tidak mewah, tapi kami adik beradik pasti merasa memakai baju dan kasut baru. Seadanya. Semampunya. Disediakan oleh abah tercinta. Kami adik-beradik juga tidak meminta yang berlebihan, dapat memilih kasut raya mengikut selera dan minat sendiri pun sudah amat menggembirakan untuk saya. Yang kelakarnya, bila dah beli kasut raya, tak sudah-sudah saya mencuba. Selalunya, pintu bilik ditutup, kemudian saya berjalan ke hulu ke hilir bergaya denga kasut baru. Hahahah! Tak sabar betul nak tunggu hari raya. Itu sahaja matlamat seorang kanak-kanak. Berpuasa, lepas itu raya. 

    2. Ramadhan pada usia remaja
    Saya bersekolah di salah sebuah sekolah berasarama penuh. Jadi, Ramadhan saya harus dilalui di asrama, dengan kawan-kawan. Hidup di asrama, harus redha dan pasrah dengan apa yang terhidang di dewan makan – baik untuk sahur atau pun waktu berbuka puasa. Bila tiba hujung minggu, hati tersentuh apabila teman-teman yang tinggal di sekitar lembah Klang dapat pulang ke rumah berbuka puasa bersama keluarga. Kita anak perantauan dari Johor ini, duduk sahajalah diam-diam di hostel. Hanya apabila berada di Tingkatan 4 & 5, dapatlah keluar outing jauh sedikit dari sekolah semasa hujung minggu. Seronok. Boleh lah beli makanan yang kena dengan selera kita. (Wah! Asyik ingat makan sahaja. LOL!).
    Cuma saya tidak pernah terlepas solat Maghrib, Isyak dan Terawih berjemaah ketika di asrama. Malahan solat lima waktu memang dikerjakan secara berjemaah (Subuh sahaja solat sendiri).  Itulah keindahannya. Bertuahnya punya disiplin itu. Amal ibadah terjaga, hati terang mudah nak menuntut ilmu. Sejujurnya saya akui, selepas tamat persekolahan menengah, amat sukar saya mengekalkan disiplin itu.
    Apabila hari raya hampir menjelang, kami beramai-ramai akan bersalam bermaaf-maafan. Detik terindah ialah bila tibanya hari balik kampung untuk berhari raya. Wow! Memang sangat gembira, teruja, tidak sabar dan macam-macam lagi perasaan dalam kategori kegembiraan. Hanya mereka yang pernah bersekolah asrama sahaja yang dapat memahami betapa indah dan hebatnya perasaan itu.

    3. Ramadhan di universiti
    Musim beralih, zaman berubah. Saya lalui pula Ramadhan pada zaman belajar di universiti. Ketika dalam pengajian Farmasi, kami rakan sekelas memang rapat di antara satu sama lain. Pasti akan ada majlis berbuka puasa yang dianjurkan bersama teman-teman. Masih saya ingat, kami berbuka di Pantai Dalam, Bangsar dan juga dalam kawasan universiti sendiri.  Semasa belajar di universiti, saya tinggal di rumah sewa. Keriangan berbuka puasa dan bersahur bersama teman-teman serumah masih segar di ingatan.
    Ada beberapa tahun juga yang saya lalui, peperiksaan akhir adalah sebaik sahaja selepas Hari Raya. Saya juga pernah pulang ke kota pada hari raya ketiga – atas tuntutan peperiksaan yang hampir menjelang. Sedih! Kedai-kedai makan banyak yang belum dibuka. Orang masih hangat beraya, kita dah terpacak di rumah sewa. Namun percayalah, semua pengorbanan itu kini amat berbaloi.

    4. Ramadhan sebagai isteri, ibu dan pelajar
    Ramadhan pertama sebagai isteri, saya melaluinya dengan penuh emosi kerana ketika itu saya mengandung trimester pertama. Tak lalu makan, tak berdaya hendak buat apa-apa. Tapi mengenangkan anak dalam kandungan saya gagahkan juga makan kurma, minum susu dan lain-lain untuk meneruskan ibadah puasa.
    Ketika anak sulung saya berusia setahun lebih, saya melanjutkan pelajaran di peringkat sarjana. Oleh kerana pengajian dijalankan secara course work, saya perlu menghadiri kuliah pada setiap petang. Ketika itu, sebaik tamat kelas sekitar 6/7 petang, jalanraya sudah sesak dengan kenderaan. Hendak sampai ke Klang, kadangkala azan sudah berkumandang. Kerap amat saya hanya berbuka dalam kereta. Andai sempat sampai di rumah pun, keadaan sekeliling sudah sunyi sepi kerana kebanyakn penduduk sudah berada dalam rumah, bersedia untuk berbuka. Sekali lagi. Percayalah, pengorbanan itu amat berbaloi.
    Pernah juga saya menggantung kuali selama sebulan kerana ketika itu anak ketiga masih bayi, yang sulung masih kecil, yang kedua juga masih perlukan perhatian. Sebagai ibu, berbuka sambil mengelek bayi itu perkara biasa. Tak mengapa, dapat juga berbuka :-)


    Apabila sudah bergelar ibu, persiapan raya anak-anak didahulukan berbanding diri sendiri

    Apabila usia hampir menginjak angka 40 tahun ini, Ramadhan harus digunakan sebaik-baiknya sebagai peluang untuk meraih pahala berganda. Pesta ibadah. Tawaran besar-besaran daripada Allah SWT untuk kita hambaNYA. Kadangkala, alpa dan rasa malas tetap merasuk diri, namun cepat-cepat beristighfar dan amat takut bila mengenangkan adakah tahun hadapan kita bisa bertemu dengan Ramadhan lagi? Moga Allah panjangkan usia kita semua, namun peluang di hadapan mata janganlah disia-siakan.
    Keseronokan hari raya untuk diri sendiri, bukan lagi perkara utama. Hingga ke hari 10 Ramadhan ini pun, baju baru untuk diri sendiri belum berbeli. Anak-anak terlebih dahulu jadi keutamaan. Melihat kegembiraan mereka mendapat persalinan baru. Kenangan pada fasa kanak-kanak bagai terulang tayang semula tapi kali ini giliran anak-anak pula. Dalam hati memanjat rasa syukur, kerana diberi keupayaan oleh ALLAH SWT untuk memberikan yang terbaik buat anak-anak. Namun, janganlah kita lupakan golongan yang kurang bernasib baik. Jika ada sedikit keupayaan, membantu lah semampunya.
    Buat semua pembaca, selamat meneruskan ibadah puasa.

    Rin Azrina
    10 Ramadhan 1435H
    8 Julai 2014



    Saturday, February 8, 2014

    Kisah Cinta Pertama

    Sumber: lovequotesplus.com (Google)

    Assalamualaikum...
    Benarkah seperti ungkapan di atas? Cinta pertama itu tidak mungkin dapat dilupakan? Hmmm...mungkin tajuk ini bisa mengundang kontroversi tetapi hakikat itu mungkin benar.

    Bilakah anda disapa cinta pertama? Adakah perasaan suka kepada sesorang ketika di bangku sekolah itu boleh dikategorikan sebagai rasa cinta pertama atau sekadar perasaan suka atau dipanggil cinta monyet? Saya tidak ada rujukan tentang definisi cinta pertama namun apa yang boleh saya tafsirkan, cinta pertama adalah perasaan kasih terhadap seseorang yang pertama kali dialami dan tidak pernah dialami kepada sesiapa sebelumnya.

    Berbahagialah mereka yang dapat menyatu cinta dengan insan yang bergelar cinta pertama. Tetapi, bagaimanakah pula dengan mereka yang hubungannya putus di tengah jalan? Apakah yang dapat dikatakan andai harapan yang disimpan jatuh berkecai tidak kesampaian? Kadangkala mentari diharap menyinar hingga ke petang, tetapi hujan pula hadir di tengahari. Namun, apabila hujan sudah turun membasahi bumi, kadangkala mentari muncul kembali, membawa bersama pelangi yang indah berwarna-warni.

    Saya mengerti pahitnya rasa apabila kehilangan cinta pertama. Saya dapat bayangkan, sekian lama mempertahankan perasaan daripada disapa getar percintaan, tetapi apabila hati telah dibuka untuk menerima kehadiran cinta, si dia itu pula menghancurkan perasaan kita. Tetapi, haruskah terus-terusan berduka lara? Mestikah selama-lamanya berdukacita?

    Come on!! Wake up!! Transform menjadi perempuan berhati waja. Bertukarlah menjadi insan yang kuat dan mampu menghapuskan airmata. Menangis dan menangis tidak akan membawa kita ke mana-mana.

    "Elehh..janganlah nak propa. Tak kan kau tak menangis masa frust dulu?"

    Ya, betul. Saya akui. Siapa yang tak menangis. Siapa yang tak berendam airmata bila kecewa. Tapi please lah...Tolonglah bangkit semula dari kekecewaan. Janganlah jadi perempuan lembik. Bangun semula. Kuatkan semangat. Mungkin sukar untuk melupakan, tapi kita harus mencuba.

    Ok, sekarang saya nak kongsikan tips, bagaimana mahu bangkit semula dari kekecewaan:

    1) Mengadulah kepada ALLAH
    Kalau sedih, kecewa, hampa mengadulah kepadaNYA. Kita ada Allah, bukan? Ingat, kekecewaan itu dikurniakan kepada kita kerana orang itu tidak sesuai untuk kita. Percayalah, satu hari nanti Allah akan temukan kita dengan insan yang lebih baik & lebih menyayangi kita.  Tapi, bila dah gembira nanti, jangan lupa semula pada Allah ok!

    2) Jadi insan yang lebih baik dan lebih cantik
    Transform! Nak buat make over ke. Nak sambung belajar ke. Jadilah insan yang lebih baik,berubahlah menjadi insan yang lebih cantik. Confirm ex anda akan menyesal tak sudah kerana mengecewakanmu

    3) Sibukkan diri - jangan bersendirian
    Duduk bersendirian seorang diri hanya akan menambahkan kesedihan di hati anda. Spend your time with family, your friends, sepupu2 saudara mara. Keluarlah dari kepompongmu, pergi tengok wayang, tengok teater, shopping, pergi daki gunung, melancong apa-apa sahajalah. Asalkan jangan melibatkan diri dengan aktiviti tidak bermoral sudahlah.

    4) Lakukan hobi anda  atau cari hobi baru
    Isilah masa anda dengan melakukan hobi anda atau cari hobi baru. Percayalah kalau anda mengalihkan perhatian anda kepada hobi-hobi yang berfaedah ini, pastinya anda tiada masa untuk terus-terusan melayan perasaan kecewa anda itu.

    Ingatlah - panas mungkin tidak sampai ke petang. Tiba-tiba hujan turun menyimbah bumi. Namun cahaya yang muncul selepas hujan, akan menghadirkan pelangi dalam hati :-)

    Rin
    0035, Februari 8, 2014







    Saturday, January 11, 2014

    Legenda Budak Asrama

    Assalamualaikum...
    Dah lama tidak menjenguk blog ini. Jenuh juga hendak membersihkan sawang, guna penyedut hampagas untuk menghilangkan habuk, sapu sampah dan macam-macam lagi. Terlalu sibuk dengan rutin harian, apatah lagi saya komited hendak menyelesaikan novel saya membuatkan masa untuk menulis di blog agak terbatas. Namun, 2014 sudah pun bermula. Sampai bila lagi hendak kata tidak ada masa?

    Rasanya masih belum terlambat untuk saya mengucapkan selamat tahun baru 2014. Moga kita menjadi hamba Allah yang semakin baik seiring dengan peningkatan usia dan kematangan kita. 

    Apabila tiba tahun baru, pasti ramai ibu bapa yang sibuk dengan kalendar persekolahan anak-anak yang baru bermula. Terutama jika anak-anak baru mengenal alam persekolahan, pasti ada yang rasa bimbang yang hadir dalam hati anak-anak mahu pun ibu bapa. Untuk yang cemerlang dalam UPSR yang lepas, pasti ada di antaranya ditawarkan masuk ke sekolah berasrama penuh. Wah! Terkenang pula kenangan kira-kira 25 tahun yang lalu semasa mula-mula menjejakkan kaki ke sekolah asrama penuh :-) Haha! Pasti readers dapat mengagak berapa agaknya umur saya? (LOL!)

    Pastinya ada rasa gentar sewaktu mula-mula menjejakkan kaki di sekolah menengah dahulu. Apa tidaknya, itu pengalaman pertama berjauhan dengan keluarga. Namun, rasa teruja mengatasi ketakutan yang datang, lalu saya kuatkan semangat. Sewaktu keluarga saya ingin pulang, emak dan nenek menangis, namun saya masih mampu mengawal perasaan daripada menitiskan air mata. Tapi sebelah malamnya ha!!! Penjuru dorm  sana sok sek sok sek, penjuru dorm sini srott srott menangis. Memang kena perli dengan senior. Banjir! Banjir!

    Jadi, untuk adik-adik yang baru sahaja memulakan pengajian di asrama, siapa yang sedih-sedih tu, cuba lihat panduan daripada seorang legenda budak asrama ni:

    1) Pertama, kena bersyukur kepada Allah Taala kerana dalam ramai2 manusia, kita antara yang terpilih untuk berada di kalangan orang yang dipilih. Cuba fikir, berapa ramai orang dapat 5A dalam UPSR? Tapi, bukan semua orang dapat masuk asrama penuh, bukan? Jadi..., panjatkan kesyukuran kepadaNYA. Solat jangan ditinggalkan. Alhamdulillah di asrama selalunya kita diminta untuk solat berjemaah, ada kuliah maghrib, qiamullail, bacaan Yaasiin dll yang amat membantu pembinaan sahsiah dan peribadi yang mulia.

    2) Kenangkan jasa dan harapan ibu bapa yang berharap anaknya jadi insan yang berjaya satu hari nanti dan belajar di sekolah asrama penuh antara titik permulaannya. So, jangan main-main ok. Belajar sungguh-sungguh. Lagi kalian sedih, homesick, ingat keluarga, patutnya lagi kuat azam anda untuk belajar sungguh2.

    3) Ada ramai kawan di asrama dan datang dari latar belakang berbeza serta ada kelebihan masing-masing. Sesuaikan diri dan berkawan dengan semua orang terutama mereka yang rajin, scorer, fluent dalam berbahasa Inggeris dll. Ingat, di luar waktu sekolah tak ada ibu bapa, adik beradik nak tolong ajar kalau kita ada kesukaran dalam pelajaran. Jadi kita hendaklah belajar dengan kawan-kawan. Di sinilah bantuan kawan-kawan yang lebih bijak amat diperlukan.

    4) Jangan cerewet atau terlalu memilih terutama soal makanan. Di asrama tidak sama macam di rumah. Orang kata, lauk nasi kawah. Tidak boleh disamakan dengan masakan daripada air tangan ibu sendiri. Yang penting, makanan yang dihidangkan adalah berkhasiat untuk kita sebagai pelajar. Jadi, mesti makan. Jaga kesihatan

    Ok, banyak pula membebel. All the best adik-adik!


    Ini meja saya masa form 5. Tepi tingkap. Ingat lagi, bila penat belajar saya suka tengok ke luar tingkap. Gambar diambil bila sirih ini pulang ke gagangnya, tempat dia menuntuk ilmu satu masa dahulu

    Tuesday, September 3, 2013

    Syawal & Jemputan Rumah Terbuka



    Assalamualaikum,

    Salam 27 Syawal.  Rindu pada Ramadhan masih belum terpadam. Diam tak diam, Syawal bulan kemenangan juga sudah hampir tiba ke hujungnya. Kalau Ramadhan dirindui sebaik sahaja Syawal menjelang, selepas ini rindu akan bermukim buat Syawal juga. Moga dipanjangkan usia dan diizinkan bertemu lagi dengan Ramadhan & Syawal pada tahun hadapan. InshaAllah…



    Saya mengambil cuti panjang pada Syawal lepas. Sebaik sahaja mula bertugas, pelbagai kerja menanti untuk disiapkan. Walaupun keadaan kesihatan kurang mengizinkan, tugas tetap perlu dijalankan.  Apabila sedikit nikmat kesihatan ditarik balik, barulah kita sedar betapa beharganya diberi tubuh badan serta minda yang sihat. Nikmat kesihatan membolehkan kita beribadah, bekerja dan menjaga keluarga dengan super efektif. Tetapi apabila demam, selsema, batuk, sakit kepala sedikit sebanyak tumpuan kita terhadap kerja dan lain-lain pasti terganggu. Oleh itu, marilah kita sama-sama bersyukur atas nikmat kesihatan yang Allah kurniakan dan marilah sama-sama kita menjaga kurniaan yang amat berharga ini.



    Sana sini rata-rata pelbagai majlis rumah terbuka atau open house diadakan. Kadangkala saya terfikir, kalau tak buat open house, tak boleh ke trs je dtg beraya? Dikhuatiri juga, kalau kita tunggu rumah terbuka baru nak datang rumah kawan-kawan @ saudara mara. Saya bukan bimbangkan org lain, saya bimbang dgn diri saya sendiri sebenarnya! Bila tahun saya buat open house, Alhamdulillah semua yang diundang datang. Tapi Syawal di mana saya tak berkesempatan buat open house, kuih raya pun tak habislah jawabnya…Saya ingin mengingatkan diri saya juga, moga saya sendiri pun dapat habiskan beraya di rumah rakan taulan, walaupun bukan atas tiket jemputan rumah terbuka.



    Menganjurkan rumah terbuka sebenarnya sangat seronok. Walaupun penat, tp bila kawan-kawan semua datang dan makanan habis dinikmati, wow! Rasa sanggup nak masak lagi. Berikut adalah beberapa cadangan menu yang boleh dimasak untuk majlis rumah terbuka.

    1) Nasi Impit

    Nasi impit sangat versatile.  Boleh padankan nasi impit dengan beberapa jenis lauk dan nasi impit pasti dapat jadi pasangan yang serasi. Antaranya:

    Nasi Impit dan sup ayam

    Jadilah soto. Enak dimakan dengan soo hoon goreng serta lebih extravaganza kalau ada bergedel. Penyediaan nya juga agak mudah



    Nasi impit dengan kauh lodeh

    Jadilah lontong. Tambah enak kalau dimakan juga dengan sambal tumis.



    Nasi impit dengan sambal kacang dan rendang

    Pasangan serasi yang tidak mungkin dipisahkan tatkala Aidilfitri. Ada yg panggil kuah kacang. Tp saya panggil sambal kacang. Heheh..



    2) Meehoon

    Kalau anda masak sup ayam, boleh celur meehoon aka beehoon, rebus juga nasi impit nah! Anda sudah dapat 2 menu untuk rumah terbuka anda – mihun sup & soto ayam. Meehoon juga boleh menjadi meehoon goreng atau meehoon goreng singapura yg pastinya member dimensi yang berbeza kepada deria rasa anda



    3) Mi dan kuey teow

    Mee goreng, mi goreng mamak, mi kari, mi sup, mi bandung, just name it. Mee dan kuey teow juga boleh dipelbagaikan untuk memeikat selera tetamu anda



    4) Nasi lemak

    Siapa kata nasi lemak tidak sesuai dijadikan juadah untuk rumah terbuka? Padanan dengan sambal sotong atau sambal udang pasti membuatkan tetamu mengingati majlis terbuka rumah anda. Boleh juga tambah ayam goreng berempah untuk tetamu-tetamu kecil yang mungkin tidak tahan pedas. 


    …..dan pastinya ada pelbagai lagi menu yang sesuai dijadikan hidangan rumah terbuka. Bergantung kepada bajet anda sebagai tuan rumah. Bergantung kepada kemampuan anda samada mahu memasak sendiri atau menyerahkannya kepada mereka yang lebih pakar iaitu pengusaha-pengusaha bisnes catering 

    Kesimpulan: 
    Ingat semula objektif kita.  Jangan tunggu jemputan rumah terbuka baru nak datang beraya ke rumah kawan-kawan atau saudara mara. Bagaimana Syawal tahun ini? Sudah hadirkah tetamu yang anda nanti, atau mungkin seperti bait lirik Sepasang Kurung Biru?

    “Tetamu datang, tetamu pergi. Namun tak tiba orang ku nanti..”



    Siapakah yang anda rindu pada Aidilfitri ini..?

    Nantikan entri berikutnya nanti

    Wassalam



    Rin Azrina

    27 Syawal 1434H

    3 September 2013












    Thursday, August 1, 2013

    Sentuhan Ajaib Seorang Ibu (The Magic Touch of a mother)



    Assalamualaikum…

    Lama tak menulis. Catatan ini dibuat masa birthday anak sulungku yang ke-6. Sekarang dah 7 tahun. Tapi takpe lah, boleh juga kongsi di sini, kan... Jadi, jemputlah membacanya :-D


    "April dah hampir ke penghujungnya. Ramai insan yang dekat di hati ini menyambut birthday bulan April berbanding bulan-bulan lain. April juga bulan di mana aku melahirkan putera sulungku yang diberi nama oleh ayahnya sebagai Haris Nai’mullah.


    Empat hari sebelum menyambut birthday Haris yang ke 6, kami diduga lagi bila mana Haris terpaksa dimasukkan ke hospital kerana demam panas. Lebih kurang setahun yang lepas Haris juga dimasukkan ke hospital kerana acute appendicitis. Alhamdulillah.., Haris dah sihat semula dan hari ni dapatlah dia menyambut birthday dengan rakan-rakan sekelasnya. Seperti dijanjikan, ibu sediakan party packs utk cikgu-cikgu & rakan-rakan sekelasnya. Terharu juga rasa hati bila cikgu dia kata, tiga hari Haris tak datang sekolah, sunyi rasa kelas, sebab selalu dialah yang banyak bercakap. Bila datang sekejap ke sekolah dia tengahari tadi, ada je kawan yang memanggil-manggil namanya. Syukur.., sekurang-kurangnya dia pandai membawa diri & disenangi cikgu serta teman-teman.



    Mengimbau kenangan semasa hari kelahiran Haris:

    Haris dilahirkan secara emergency LSCS (emergency caesarean) kerana kedudukannya yang masih melintang walaupun sudah tiba saat untuk aku melahirkan. Aku tidak pernah menyangka akan dibedah. Hanya ketika pergi utk routine check up at 38+ weeks, doctor menyatakan anak ku unstable/transerve lie. Puncanya kerana aku mempunyai masalah polyhydramnious. Ketika scan, the thickness of the amniotic fluid was maximum! Aku terpaksa ditahan di dalam wad kerana doktor begitu bimbang akan keadaanku & Haris dalam kandungan. Dua malam di dalam wad & pada satu pagi Rabu, aku merasakan tibalah saat untuk aku melahirkan. Doktor pakar datang memeriksa dan mendapati anakku masih di kedudukan melintang. Tiada pilihan – aku terpaksa dibedah serta-merta.



    Akhirnya pada 9.48 pagi 26 April 2006 aku melahirkan seorang putera yang comel. Pengalaman pertama mempunyai anak amat menakjubkan. Masih ku ingat, kalau baby lain masih sukar nak membuka mata, Haris sudah terkebil-kebil dalam baby cot nya. Masih juga ku ingat, saat dia menangis, dalam kesakitan akibat pembedahan aku menggagahkan diri mendapatkannya di dalam baby cot. Saat aku menyentuh dan mengangkatnya, Haris terus berhenti menangis. Subhanallah!! Maha suci Allah. Inilah keajaiban sentuhan seorang ibu. Perkara ini sentiasa ku amati pada kelahiran anak-anakku yang lain iaitu Hafiz dan Haidhar. Memang menakjubkan. Sembilan bulan dibawa ke mana sahaja dalam rahim ibu, hanya dengan satu sentuhan- bayi itu tahu itu ibunya. Sesungguhnya, inilah kekuasaan Allah untuk kita renungkan dan panjatkan kesyukuran.



    Ini lah Haris masa 3 bulan


    Masa Haris 5 bulan, aku ada buat satu poem untuk dia. Tapi mungkin kita boleh share lain kali. Aku akui, aku bukan ibu yang terbaik. Ramai orang kata aku penyabar dan lemah lembut, tapi percaya atau tidak-aku sangat garang pada anak-anak. Mungkin aku mahu mereka jadi yang terbaik & anak-anakku memang lasak, sebab tu ibu dia kena garang.



    Happy Birthday my eldest son Haris Nai’mullah bin Mohd Faisal. Doa ibu moga panjang umur, jadi anak yang soleh lagi bijaksana. I’m proud of you-always & forever"



    Sekejap sahaja masa berlalu. Alhamdulillah Haris dah 7 tahun. Sekarang dah darjah 1 :-)


    Gambar ni masa 1st day haris ke sekolah. Hari orientasi
    Nanti saya akan kongsi juga perihal anak ke-2 & ke-3 saya.

    Wassalam



    Rin Azrina-© (All copyright reserved)